Archive for March 2021

Berpusatkan Bahan (Strategi Pedagogi)

 STRATEGI BERPUSATKAN BAHAN


Strategi berpusatkan bahan bermaksud guru menggunakan pelbagai bahan seperti buku,blok-blok binaan, bahan lukisan, peralatan saintifik, komputer, pusat sumber, pusat akses kendiri dan lain-lain untuk menjalankanaktiviti  pengajarannya. Strategi berpusatkan bahan meliputi cara yang luas bagi murid  yang dibimbing oleh guru hingga yang belajar secara individu dapat belajar.

 Penggunaan bahan-bahan harus berasaskan kepada beberapa faktor seperti objektif pengajaran, keperluan murid, tahap penguasaan dan kebolehan murid. Kepelbagaian media akan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan pemikiran kritikal dan kemahiran mental dala kalangan murid.

Terdapat pelbagai bentuk bahan resos yang digunakan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah penggunaan buku yang digunakan semenjak dahulu sebagai satu bentuk pengajaran berpusatkan bahan yang utama. Kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam penggunaan media dalam pembelajaran berpusatkan bahan. Ia termasuklah peningkatan dalam bahan pembelajaran, panduan pelajaran, panduan buku teks, buku kerja, video dan pakej pembelajaran. Bahan yang lebih canggih ialah pakej pembelajaran berasaskan komputer, konferens komputer, CD-Rom, multimedia, kumpulan perbincangan komputer, video interaktif, bahan dalam laman web, telekonferens, konferens video dan telematiks.

Penggunaan komputer sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran juga telah semakin berkembang dalam pendidikan awal kanak-kanak. Gearheart dan Gearheart (1989), Hawkridge dan Vincent (1992) serta Mather dan Bos (1994), sependapat menyatakan bahawa murid bermasalah pembelajaran dan tingkah laku memperolehi pengetahuan dan kemahiran baru melalui kaedah literasi komputer. Ia mungkin disebabkan oleh kaedah ini memaparkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian. 

Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menegaskan tujuan-tujuannya agar murid dapat melibatkan diri dalam aktiviti. Murid hendaklah jelas tentang matlamat  yang ingin dicapai. Apabila murid ingin melaksanakan aktiviti, guru memantau kemajuan dan menyediakan bantuan jika perlu. Kesemua tugasan perlu disusuli dengan refleksi atau perbincangan. Guru menyemak dan memberi maklum balas umum tentang prestasi dan mengukukuhkan idea-idea utama.


Ciri-ciri  bagi strategi Berpusatkan  bahan;

1. Bahan pembelajaran memainkan peranan penting. kebergantungan kepada bahan untuk mencapai objektif pengajaran.

2. Komunikasi/interaksi berlaku  antara guru/bahan atau murid / bahan pembelajaran.

3. Kecekapan, kemahiran penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran diutamakan.

4. Penekanan kepada jasmani, rohani, dan kognitif. Murid dilatih tentang kemahiran , kefahaman dan berdikari.

5. Pengajaran bermakna, menarik dan berkesan.

6. Murid berpeluang berinteraksi antara satu dengan yang lain dan sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui kaedah kumpulan kecil. Contohnya uji kaji, projek, perbincangan dan sebagainya.

7. Pengetahuan abstrak dapat dijadikan konkrit dengan adanya bahan-bahan pelajaran.

8. Kaedah dan teknik: komputer, bahan cetak, buku, mudul, buku teksbuku rujukan, kamus, pita perakam, carta, peta, graf, spesimen,slaid, video, televisyen, projektor, dan sebagainya.

9. Demontrasi: murid-murid membuat pemerhatian ke atas demontrasi yang ditunjukkan oleh guru.

10. Aplikasi: murid-murid dapat mengaplikasikan pengetahuan baharu.

11. Pengaktifan: murid-murid mengaktifkan pengetahuan/pengalaman baharu.

12. Integrasi: murid-murid menyepadukan pengetahuan baharu dalam kehidupan.

13. Pemusatan tugasan: murid-murid mengambil bahagian dalam strategi pengajaran pemusatan tugasan.


Pembelajaran berpusatkan bahan juga adalah penting bagi membantu guru memenuhi keperluan murid yang pelbagai. Ia dapat menyediakan cara untuk murid belajar mengikut kadar dan kemampuan sendiri, pada bila-bila masa dan di lokasi yang tidak menyulitkan mereka. Selain itu, ia juga dapat membantu murid-murid yang tidak hadir  ke kelas pada hari pengajaran diadakan.


Contoh Strategi Berpusatkan Bahan








Berpusatkan Murid (Strategi Pedagogi)

 STRATEGI PEDAGOGI - BERPUSATKAN MURID

Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang menjadi pemudahcara kepada murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi berpusatkan murid terutamanya murid di dalam kelas.

Kajian menunjukkan bahawa strategi pemusatan murid mempunyai kelebihan untuk memperkembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasikan konsep sikap  yang positif, mewujudkan motivasi dan memperkembangkan peribadi dalam menggalakkan kemahiran sosial dalam kumpulan. Kaedah ini dapat dilakukan untuk mewujudkan iklim bilik darjah yang dapat memperkembang kreativiti murid (Noriati, et. al.,2012). Bilik darjah yang berpusatkan murid juga menunjukkan perkembangan kognitif yang baik  dalam kalangan murid.

Setiap guru perlu mengetahui struktur, mengenal pasti konsep-konsep penting dan memilih atau mengembangkan pengalaman-pengalaman yang bermakna kepada murid dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka dan menemui apa yang guru hendak mereka pelajari. Pembelajaran menekankan kepada pembelajaran kendiri, arah kendiri dan inkuiri penemuan. Contoh kaedah dan teknik pengajaran dalam stretegi pemusatan murid adalah seperti projek, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, simulasi, main peranan, sumbangsaran, dan kumpulan kecil. Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.


Ciri–Ciri Strategi Berpusatkan Murid :

1. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.

2. Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.

3. Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.

4. Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.

5. Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.

6. Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat diberikan perhatian.


Kebaikan Strategi Berpusatkan Murid :

1. Murid terlibat secara aktif dalam pelajaran.

2. Proses dan aktiviti pembelajaran dilaksanakan oleh murid dan bukan dipaksa oleh guru.

3. Guru berperanan sebagai pemudah cara.

4. Menggalakkan daya kreatyiviti murid dan seterusnya membantu murid membina kemahiran menyelesaikan masalah.

5. Pembelajaran berpusatkan murid membolehkan berlakunya pengalaman pembelajaran secara lebih mendalam  dan luas.


Kelemahan Strategi Berpusatkan Murid :

1. Lebih bersifat tumpuan pembelajaran.

2. Tempoh pembelajaran mengambil masa yang lama.

3. Sebagai fasilitator, guru berupaya untuk mengawal pembelajaran murid-muridnya dan kemungkinan juga akan menimbulkan ketidakselesaan  dalam kalangan murid-murid.

4. Lebih banyak cabaran akan dihadapi  semasa pelaksanaan untuk membolehkan murid  mencapai objektif  pembelajaran yang telah ditetapkan.


Contoh Strategi Berpusatkan Murid




Berpusatkan Guru (Strategi Pedagogi)

STRATEGI PEDAGOGI - BERPUSATKAN GURU


Strategi berpusatkan guru merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan dalam bilik darjah. Di bawah strategi pengajaran dan pembelajaran ini, guru memainkan peranan yang utama. Di dalam kelas, gurulah yang menguasai dan mengawal segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran di mana guru banyak memberi penerangan dan pelajar hanya duduk mendengar. Brophy (1978) , menyatakan bahawa pengajaran berpusatkan guru merupakan pendekatan yang mudah dirancang dan diurus, membekalkan model untuk pemikiran yang betul dan mengelakkan suasana elitis yang sering dikaitkan dengan kaedah kumpulan. Kaedah pengajaran secara kelas, demontrasi atau tunjuk cara, bercerita, kaedah penyoalan dan pengajaran berpasukan adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi pemusatan guru.

Strategi berpusatkan guru juga dikenali sebagai pengajaran eksplisit. Ia terdiri daripada bahan yang mengandungi langkah-langkah kecil dan sistematik. Terdapat juga hentian sejenak untuk menyemak pemahaman murid. Pendekatan ini berguna untuk menyampaikan fakta-fakta khusus dan kemahiran tertentu. Sebagai contoh, pengajaran dalam pendidikan Sain Awal yang memerlukan aktiviti penyiasatan, aktiviti mengira dalam matapelajaran Matematik Awal dalam pendidikan awal kanak-kanak adalah beberapa contoh di mana pendekatan eksplisit adalah berguna.

 
Strategi berpusatkan guru mengandungi pengajaran dalam langkah-langkah kecil yang menekankan amalan murid-murid selepas setiap langkah. Peranan guru adalah mengemukakan bahan pengajaran, membimbing murid-murid melalui sesi praktis awalan dan memberi semua  latihan melalui aktiviti pengayaan dan pengukuhan yang lebih kerap.

 

Ciri–Ciri Strategi Berpusatkan Guru :

⮞ Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid berperanan sebagai penonton sahaja.

⮞ Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah sehala, guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar.

⮞ Ciri kepimpinan guru bersifat autokratik. Murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka dan Guru banyak bertindak mengawal dan memberi arahan.

⮞ Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru.

⮞ Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyuburan nilai murni atau perkembangan emosi.

⮞ Strategi ini mementingkan pencapaian murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan.

⮞ Teknik mengajar guru ditumpukan kepada penyampaian fakta-fakta secara menghafal. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal dan kurang berupaya membuat interpretasi.

⮞ Interaksi di antara murid adalah pasif dan sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat dipupuk.

⮞ Mementingkan pengelolaan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberikan perhatian.

⮞ Di bawah strategi ini, murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif.

Contoh/Galeri Aktiviti berpusatkan guru:





Pengenalan Pedagogi

Apa itu Pedagogi? 

Pedagogi ialah kajian mengenai pengajaran, khususnya pengajaran dalam pendidikan formal. Dengan kata lain, ia adalah sains dan seni mengenai cara mengajar di sekolah. Secara umumnya pedagogi merupakan mata pelajaran yang wajib bagi mereka yang ingin menjadi guru di sekolah. Sebagai satu bidang kajian yang luas, pedagogi melibatkkan kajian mengenai proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan juga interaksi guru-pelajar. 

( Sumber Wikipedia : https://ms.wikipedia.org/wiki/Pedagogi )


Pedagogi Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-Kanak

Dalam penulisan blog ini berkongsi tentang pendidik awal kanak-kanak dan  TIGA pedagogi pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak berdasarkan perspektif global.  

Tiga pedagogi yang dibincangkan ialah :

    1) Strategi Berpusatkan GURU

    2) Strategi Berpusatkan MURID

    3) Strategi Berpusatkan BAHAN

    (Sila klik pada tulisan untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan dengan strategi berkenaan)


Ketiga-tiga strategi ini saling berkaitan di antara satu sama lain di samping perlunya kemahiran dan kreativiti seseorang guru itu untuk memilih, merancang, menyusun dan menguruskan kaedah serta teknik mengajar dalam objektif pelajaran pada peringkat optimum. Ketiga-tiga strategi yang dinyatakan sememangnya mempunyai kelebihannya sendiri. Namun begitu, strategi pemusatan murid adalah yang paling ideal dalam melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.




- Copyright © Faziah_HBEC1903 - Blogger Templates - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -