STRATEGI PEDAGOGI - BERPUSATKAN MURID
Di bawah strategi berpusatkan murid ini, murid memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran. Mengikut strategi ini, murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran mereka. Di dalam bilik darjah, guru merupakan seorang pemimpin yang menjadi pemudahcara kepada murid menjalankan aktiviti pembelajaran, sama ada secara kumpulan ataupun individu. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, lebih banyak masa akan diperuntukkan kepada aktiviti pembelajaran murid. Kaedah kumpulan, lawatan, bermain, simulasi atau main peranan dan pengajaran individu adalah kaedah yang menjadi pertimbangan semasa menggunakan strategi berpusatkan murid terutamanya murid di dalam kelas.
Kajian menunjukkan bahawa strategi pemusatan murid mempunyai kelebihan untuk memperkembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasikan konsep sikap yang positif, mewujudkan motivasi dan memperkembangkan peribadi dalam menggalakkan kemahiran sosial dalam kumpulan. Kaedah ini dapat dilakukan untuk mewujudkan iklim bilik darjah yang dapat memperkembang kreativiti murid (Noriati, et. al.,2012). Bilik darjah yang berpusatkan murid juga menunjukkan perkembangan kognitif yang baik dalam kalangan murid.
Setiap guru perlu mengetahui struktur, mengenal pasti konsep-konsep penting dan memilih atau mengembangkan pengalaman-pengalaman yang bermakna kepada murid dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka dan menemui apa yang guru hendak mereka pelajari. Pembelajaran menekankan kepada pembelajaran kendiri, arah kendiri dan inkuiri penemuan. Contoh kaedah dan teknik pengajaran dalam stretegi pemusatan murid adalah seperti projek, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, simulasi, main peranan, sumbangsaran, dan kumpulan kecil. Di bawah strategi pemusatan murid, lazimnya murid menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.
Ciri–Ciri Strategi Berpusatkan Murid :
1. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan yang penting sedangkan peranan guru merupakan pemimpin yang membimbing murid menjalankan aktiviti pembelajaran.
2. Komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid adalah secara dua hala.
3. Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik. Murid digalakkan memberi pendapat mereka.
4. Strategi pengajaran dan pembelajaran lebih mengutamakan pencapaian objektif pembelajaran murid.
5. Peluang interaksi di antara murid adalah banyak dan sifat-sifat sosial yang positif seperti tolong-menolong, berkerjasama dan bertolak ansur jelas dapat dipupuk.
6. Strategi ini mementingkan pengelolaan kaedah kumpulan. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat diberikan perhatian.
Kebaikan Strategi Berpusatkan Murid :
1. Murid terlibat secara aktif dalam pelajaran.
2. Proses dan aktiviti pembelajaran dilaksanakan oleh murid dan bukan dipaksa oleh guru.
3. Guru berperanan sebagai pemudah cara.
4. Menggalakkan daya kreatyiviti murid dan seterusnya membantu murid membina kemahiran menyelesaikan masalah.
5. Pembelajaran berpusatkan murid membolehkan berlakunya pengalaman pembelajaran secara lebih mendalam dan luas.
Kelemahan Strategi Berpusatkan Murid :
1. Lebih bersifat tumpuan pembelajaran.
2. Tempoh pembelajaran mengambil masa yang lama.
3. Sebagai fasilitator, guru berupaya untuk mengawal pembelajaran murid-muridnya dan kemungkinan juga akan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan murid-murid.
4. Lebih banyak cabaran akan dihadapi semasa pelaksanaan untuk membolehkan murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.